Wednesday, March 14, 2012

Rahmat Hujan Itu

BismiLlahi wal hamduliLlah


subhanAllah, astaghfiruLlah..hari berganti bulan, bulan berganti tahun. Syukur Allah memberi nafas untuk terus menghabiskan saki baki kehidupan yang diberiNya. Sampai masa Dia menjemput, moga amal yang cukup dibawa bertemuNya..


Antara ilmu terbaik yang Allah beri percuma adalah melalui kehidupan. Ya, sekolah kehidupan yang dipenuhi kelerai indah pengalaman, pembelajaran. Kadangnya diselangi warna gelap kesilapan dan dosa. Namun masih punya ruang untuk membaiki warna hidup dengan suci dan ikhlasnya taubat. Bukankah Allah menjanjikan taubat bagi hambaNya yang meminta. Maka mintalah..bersihkan hati..


Petang yang mendung. Terasa lama tidak membawa adik2 keluar berjalan. ‘Pergi pasar lah’. Desis hati. Lantas izin bonda di pohon. Lalu bersiaplah dua kecil itu, riang dan gembira untuk keluar. Kesihatan bonda yang belum benar pulih menyekat si kecil untuk selalu berjalan seperti dahulu. astaghfiruLlah..ini tugasnya. Hak mereka untuk mengenal hidup dengan perjalanan dan pemerhatian perlu dipenuhi.


Sampai di pasar bermacam permintaan yang dipinta si kecil. Awan yang mendung semakin memberat. Baru saja sempat membeli beberapa bungkus kerepek untuk dibawa pulang ke bandar, segera awan memuntahkan hujan ke bumi. Lebat sungguh. Berlarilah dia dan si kecil mencari tempat perteduhan di kedai runcit. ‘Brrr..sejuk’. sebungkus kerepek dikeluarkan. Dihulur pada si kecil. ‘makan ni dulu, nanti kite beli makanan lain’. Sedar-sedar dalam dompetnya hanya tinggal RM5. ‘alamak..tak bawak duit lebih pulak. Beli 6 bungkus kerepek, lupa nak check duit’. Keluhnya. ‘akak, nanti nak beli air tebu, nak itu..nak ini..’. pinta si kecil. ‘er, hujan ni. Kite beli air tebu je ye. Makan kerepek ni. Pastu kite terus balek.’ Dalihnya agar si kecil tak meminta lebih daripada nilai duit yang tinggal.


Menanti hujan reda. Dilihat barisan penggerai mula merendahkan khemah gerai. Hujan semakin deras membasahi bumi. Angin mengamuk kuat melanggar setiap gerai. Ramai penggerai menahan khemah daripada terbang ditiup angin. Manusia yang lainnya ada berlari meredah hujan, ada yang berteduh dan memandang kosong hujan yang turun. Tiba-tiba matanya menangkap gelagat seorang penggerai. pakcik penjual sayur yang cuba menahan tiang khemah, namun angin yang kuat menolaknya ke belakang melanggar van nya. Tiang khemah menimpanya. ‘isy, kesiannn..’. insaf hati. Begitu sedar akan nilai pekerjaan itu adalah pada keikhlasan dan keberkatannya. Allah telah menyusun setiap jalur takdir yang terbaik untuk kita. Membentuk warna kehidupan yang tercantik juga buat kita. Manusia, ada yang berfikiran logikal, realistik. Namun ada juga yang emotional, sensitif. Begitulah saling melengkapi. subhanAllah..cantiknya ciptaan yang disusunNya!


Begitu dia sedar betapa pentingya untuk mencapai puncak hidup yang terbaik. Punya sebaik-baik pekerjaan. Punya sebaik-baik keluarga. Punya segala yang diimpikan terbaik baginya. sampai tidak sedar akan kesibukan dalam hanya memenuhi tuntutan diri.


‘Maka apakah kamu menyangka, bahawa Kami menciptakan kamu main-main (tanpa ada maksud) dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami? Maka Maha Tinggi Allah, Raja yang sebenarnya. Tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) selain Dia, Tuhan (yang mempunyai) arasy yang mulia’- al-mukminun:115-116


Tersedar dia pada hak-hak yang perlu dilunasi. Pada Allah, pada keluarga, pada masyarakat, pada majikan, pada anak murid, pada sahabat, pada ummah. Sudahkah terbayar hutang-hutang hak yang ada? Insaf benar akan kurangnya dia melunasi hak pada keluarga. Bonda yang belum lagi sihat, adik2 yang semakin membesar..perlu dipantau pendidikan mereka. Perlu ditanya solat dan ilmu agama mereka. Makan minum mereka. Adik2 teruna yang semakin dewasa. Perlu di pandu memilih jalan terbaik ketika diuji fitnah perempuan. Kakak yang berdebar meniti hari bahagia. Perlu semakin rapat dengannya. Kelak berubah status, dialah yang akan menjadi rakan setia bonda, mengganti tugas si kakak yang bakal berubah priority ketaatannya. Dan pada ayahanda, seringkali bercerita perihal bonda dan keluarga padanya. Kadang bercerita tentang dapur yang berminggu tak berasap sejak bonda tak sihat. Hanya menempah atau membeli makanan di luar. astaghfiruLlah…! Sungguh ini bukan amanah yang ringan.


‘ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang yang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tidak sanggup kami memikulnya. Maafkanlah kami; ampunilah kami; dan rahmatilah kami… ’- al-Baqarah: 286


Tersedar pada hujan yang mula reda, dia bergegas mengajak dua kecil itu pulang. Ketidakcukupan duit untuk membeli makanan lain menyedarkan nya untuk berusaha mendaki sisi kehidupan yang lebih baik. Rahmat hujan pada petang itu membawanya menginsafi akan segala hak-hak yang belum dilunasinya. Mengingatkannya akan nilai kesyukuran itu pada amal dan keikhlasan. ‘ya Allah, setinggi kekuatan dipohon untuk terus menjadi diri seperti dulu..yang aktif dan produktif. terlalu banyak untuk dibuat namun adakalanya buntu di mana jalan pemula. Allah, bantu lah dia’